Berapa kali anda mencari sesuatu maklumat di telefon hari ini? Adakah anda bertanya soalan kepada ChatGPT? Bagaimana pula dengan Alexa, Siri atau laman media sosial?
Keupayaan untuk menerima jawapan serta-merta merupakan antara manfaat besar kemajuan teknologi dalam kehidupan seharian kita. Namun pada masa yang sama, ia juga menjadikan usaha menapis lambakan maklumat semakin sukar terutamanya untuk memastikan kita memperoleh jawapan yang paling tepat dan boleh dipercayai. Kepantasan perubahan dalam ekosistem maklumat dalam talian hari ini menjadikan keperluan terhadap satu sumber fakta yang boleh dipercayai dan disahkan semakin mendesak.
Wikipedia diwujudkan hampir 25 tahun lalu dengan matlamat tersebut. Disunting oleh hampir 250,000 sukarelawan di seluruh dunia, Wikipedia kini menerima hampir 15 bilion lawatan setiap bulan. Ia mencatat tahap trafik global yang sama (atau lebih tinggi) berbanding syarikat Internet berasaskan keuntungan yang terkenal tetapi dengan hanya sebahagian kecil daripada bajet dan tenaga kerja mereka. Wikipedia juga merupakan satu-satunya laman dalam senarai sepuluh laman paling banyak dilawati di dunia yang dihoskan oleh sebuah organisasi bukan keuntungan, iaitu Wikimedia Foundation.
Sejak saya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Wikimedia Foundation pada tahun 2022, saya telah bertanya kepada ratusan orang di seluruh dunia tentang bagaimana mereka menyangka Wikipedia berfungsi. Perbualan ini selalunya membawa kepada kenyataan seperti berikut:
“Saya kadang-kadang nampak mesej meminta derma, tetapi baru sekarang saya sedar tiada iklan langsung di Wikipedia.”
“Saya tak tahu pun Wikipedia disokong oleh organisasi bukan keuntungan.”
“Saya guna Wikipedia setiap hari. Saya tak dapat bayangkan dunia tanpa Wikipedia.”
Mereka biasanya mengakhiri perbualan tersebut dengan kefahaman tentang kepentingan usaha Wikimedia Foundation untuk memastikan “ensiklopedia yang boleh disunting oleh sesiapa sahaja” terus tersedia secara bebas kepada orang ramai di seluruh dunia.
Wikimedia Foundation menjalankan empat perkara kritikal untuk memastikan Wikipedia semakin hampir kepada visinya iaitu mewakili keseluruhan pengetahuan manusia. Pertama, kami menyediakan asas teknologi yang sangat canggih untuk memastikan Wikipedia kekal selamat, pantas dan boleh diakses di seluruh dunia. Kedua, kami berinovasi menggunakan teknologi terkini supaya kandungan Wikipedia yang tepat dan terkini dapat disampaikan kepada anda walaupun ketika anda menggunakannya melalui laman lain. Ketiga, kami membantu melindungi integriti pengetahuan serta menentang penapisan dan ancaman-ancaman lain. Dan yang paling penting, keempat, kami menyokong sukarelawan di semua rantau dunia untuk membina komuniti penyunting dan penyumbang yang berkembang maju. Merekalah yang membawa Wikipedia kepada dunia lebih 20 tahun lalu berlandaskan satu kepercayaan radikal bahawa manusia mesti kekal sebagai teras dalam merealisasikan janji teknologi.
Apakah yang diperlukan untuk melakukan semua ini?
- Asas teknologi yang canggih untuk memastikan Wikipedia selamat, pantas dan boleh diakses
Anda mungkin terkejut apabila mengetahui bahawa Wikipedia diiktiraf sebagai salah satu laman terpantas di Amerika Syarikat. Akses yang pantas dan boleh dipercayai kepada laman Wikipedia seharusnya tidak bergantung pada lokasi tempat tinggal seseorang. Wikimedia Foundation terus memperluaskan asas teknologi ini bagi memastikan pengalaman yang hampir sama dapat dinikmati oleh pengguna di Timur Tengah, Afrika, Amerika Selatan, Asia dan Eropah.
Infrastruktur penting ini telah berkembang selama bertahun-tahun untuk menangani lonjakan trafik global yang melampau. Lonjakan sedemikian boleh berlaku apabila terdapat peristiwa besar yang mendapat liputan meluas seperti kematian seorang tokoh terkenal. Pada saat-saat ini, kami melihat banyak laman lain mula menarik maklumat terkini daripada Wikipedia secara serentak kerana ia merupakan sumber yang dipercayai. Keadaan ini meningkatkan tekanan terhadap asas teknologi kami untuk memastikan laman terus beroperasi apabila orang ramai amat memerlukannya. Jurutera kami berbangga memastikan Wikipedia tidak tergendala.
Kami melaksanakannya dengan dua pusat data dan lima pusat cache, disokong oleh lebih dua ribu pelayan (kami mengendalikan pelayan sendiri atas pelbagai sebab terutamanya untuk melindungi privasi pengguna). Infrastruktur ini menyokong laman web Wikipedia serta harta digital lain seperti aplikasi mudah alih.
Namun, pelaburan sebenar adalah pada ratusan jurutera kami. Mereka menulis kod yang kompleks secara terbuka, membuat keputusan sukar untuk mengimbangi lonjakan trafik masuk dan menambah pangkalan data baharu apabila diperlukan. Mereka mengendalikan penyelenggaraan perisian yang sering tidak kelihatan tetapi sangat kritikal daripada mengurangkan penggunaan memori, membaiki pepijat, hingga membuang kod yang mengancam keselamatan sistem. Sebagai contoh, sepanjang tahun lalu kami menamatkan penggunaan URL mudah alih lama yang serta-merta meningkatkan masa pemuatan halaman sehingga 19%.
Wikimedia Foundation mesti terus melabur dalam keselamatan, kelajuan dan kebolehpercayaan Wikipedia. Asas yang cekap dan sangat canggih ini dikendalikan oleh pakar teknologi berpacukan misi yang berdedikasi sepenuhnya untuk memastikan Wikipedia sentiasa beroperasi untuk berbilion pelawat yang bergantung kepadanya agar sentiasa tersedia dengan satu klik sahaja.
- Menjadikan kandungan Wikipedia tersedia di seluruh Internet
Kebanyakan orang yang saya temui tidak menyedari bahawa kandungan yang mereka gunakan di seluruh Internet datang daripada Wikipedia walaupun mereka tidak pernah melawat laman kami. Dari manakah Google mendapat pautan untuk menjawab carian anda? Pernahkah anda bertanya kepada Siri atau Alexa dari mana jawapan mereka diperoleh? Tahukah anda bahawa ChatGPT dan alat seumpamanya dilatih menggunakan data Wikipedia?
Fenomena ini digambarkan dengan baik dalam sebuah rencana New York Times Magazine yang menyifatkan Wikipedia sebagai “sejenis jalinan fakta yang menyatukan seluruh dunia digital”. Enjin carian sangat bergantung pada rencana Wikipedia yang sentiasa dikemas kini, laman video pula mengarahkan pengguna ke Wikipedia untuk maklumat lanjut dan chatbot AI secara berkala menarik kandungan daripada Wikipedia dalam menghasilkan jawapan mereka. Bagaimana Wikipedia mengekalkan keupayaan ini sambil kekal setia kepada tujuan dan nilainya?
Ia bukan sesuatu yang mudah dan inilah yang mendorong peningkatan pelaburan kami di Wikimedia Foundation. Kami menggandakan usaha melindungi data dan privasi pengguna, bertentangan dengan banyak trend industri. Kami juga menggandakan komitmen untuk memastikan kandungan kami kekal tersedia secara bebas kepada semua orang, serata tempat, menerusi konsep lesen bebas. Dan yang paling penting, kami menggandakan kepercayaan bahawa kandungan berkualiti tinggi yang dihasilkan oleh manusia tidak boleh digantikan oleh alat AI generatif seperti ChatGPT.
Kami telah meneliti isu terakhir ini dengan mendalam. Seperti yang dinyatakan oleh Stephen Harrison, wartawan lama yang mengikuti perkembangan Wikipedia: “Pelaksanaan teknologi AI pasti akan mengubah cara Wikipedia digunakan dan mentransformasikan pengalaman pengguna. Pada masa yang sama, ciri dan kelemahan model bahasa besar atau LLM seperti ChatGPT berinteraksi dengan kepentingan manusia namun dengan cara yang menyokong Wikipedia, bukannya mengancamnya.” Bagi Wikimedia Foundation, pendekatan ini diterjemahkan melalui pelaburan berterusan dalam AI dan pembelajaran mesin sambil memastikan manusia kekal sebagai teras utama. Kami juga bereksperimen dengan cara baharu untuk berinteraksi dengan kandungan Wikipedia termasuk melalui video pendek, sembang dan platform permainan. Eksperimen terbaru kami tertumpu pada aspek editorial yang menunjukkan bahawa apabila penyumbang cuba menambah bahasa bersifat subjektif ke dalam rencana Wikipedia, gesaan untuk “meneutralkan” nada mereka meningkatkan peluang mereka untuk membuat suntingan yang berjaya di Wikipedia dengan ketara.
Satu lagi bidang pelaburan yang ditingkatkan adalah dalam alatan yang dicipta oleh Foundation untuk membantu penyunting sukarelawan menterjemah rencana merentas bahasa. Sebagai perusahaan digital paling berbilang bahasa di dunia, Wikipedia dan projek-projek saudaranya menyokong penciptaan kandungan dalam lebih 300 bahasa. Memenuhi misi global Wikimedia memerlukan kreativiti dan inovasi berterusan dalam terjemahan merentas bahasa dan konteks budaya. Ini bermula bertahun-tahun lalu dengan alat terjemahan kandungan yang sentiasa diselenggarakan dan ditambah baik. Ia telah digunakan untuk menterjemah lebih daripada 2 juta daripada hampir 64 juta rencana Wikipedia setakat ini.
Di samping itu, terdapat kos operasi tahunan yang diperlukan untuk memastikan “jalinan fakta” Wikipedia kekal kukuh dan berfungsi dengan baik. Ini termasuk penambahbaikan berpandukan pengguna terhadap kebolehgunaan laman web kami untuk pembaca. Ia juga melibatkan keutamaan terhadap keperluan penyunting sukarelawan dan penyumbang teknikal di seluruh dunia yang merangkumi perisian tersuai, alatan peribadi, pembaikan pepijat khusus dan tampalan individu merentas lebih 300 bahasa dan di semua rantau dunia!Inilah sebabnya kami bersedia membelanjakan sebahagian besar daripada bajet AS$207.5 juta kami untuk mengembangkan pasukan jurutera, pereka, pengurus produk, penyelidik dan penganalisis bertaraf dunia. Mereka memikul tugas besar iaitu membina sebuah dunia tempat setiap manusia boleh berkongsi dalam keseluruhan pengetahuan manusia.
- Melindungi integriti pengetahuan dan menentang penapisan
Kebanyakan daripada kita pernah melihat atau mengalami sendiri kesan negatif maklumat palsu, polarisasi dan penapisan dalam talian. Realiti yang merosakkan ini bersama ancaman terhadap data peribadi dan privasi sering menyebabkan individu terpaksa melindungi diri sendiri. Inilah sebabnya, bagi saya, matlamat Wikipedia untuk menyediakan maklumat berasaskan bukti, tidak berat sebelah dan bebas kepada semua orang kini lebih mendesak berbanding sebelum ini.
Para sukarelawan Wikipedia merupakan barisan pertahanan pertama dunia. Pada tahun 2023, saya memberitahu pemimpin kerajaan bahawa proses harian membina dan menambah baik Wikipedia memerlukan para penyumbang ini bekerjasama, berbahas dan berbincang tentang suntingan mereka bagi menghasilkan rencana yang teliti dan bermaklumat. Mereka memegang piawaian tinggi dari segi kebolehpercayaan, kebolehsahan dan keneutralan dengan menyediakan petikan dan sumber. Di halaman “Perbincangan” setiap rencana Wikipedia, pelbagai sudut pandang dipertimbangkan secara terbuka supaya keputusan kandungan dapat dibuat secara jujur dan bersama. Mereka juga menetapkan serta menguatkuasakan peraturan tentang perkara yang wajar dan tidak wajar dimasukkan ke dalam projek Wikimedia berpandukan Kod Tatakelakuan Sejagat serta disokong oleh komitmen Wikimedia Foundation terhadap piawaian hak asasi manusia.
Semua ini memerlukan peluasan strategi undang-undang, dasar dan advokasi kami untuk menentang trend peningkatan autoritarianisme dan penapisan kerajaan termasuk sekatan terhadap Wikipedia itu sendiri yang pernah kami bantu tarik balik di Turkiye. Ia juga merangkumi usaha mempromosikan peraturan yang bertanggungjawab untuk menyokong akses terbuka kepada pengetahuan dalam perundangan, seperti Akta Perkhidmatan Digital. Dan apabila perlu, kami mempertahankan para sukarelawan di negara-negara yang menjadikan sumbangan kepada Wikipedia satu tindakan berani.
Dalam dunia hari ini, semakin sukar untuk memastikan teknologi berkhidmat kepada manusia dan bukannya sebaliknya.
Saya percaya bahawa usaha Wikimedia Foundation dalam mempromosikan nilai akses terbuka dan saksama kepada pengetahuan untuk individu dan masyarakat di seluruh dunia mesti disokong sekarang lebih daripada sebelum ini.
- Menyokong sukarelawan untuk membina komuniti penyumbang yang berkembang maju
Wikimedia Foundation merupakan sebahagian daripada ekosistem komuniti yang luas. Ia merangkumi cawangan tempatan yang mewakili negara, kumpulan pengguna sukarelawan dengan minat bersama, rakan sekutu yang memperjuangkan pengetahuan terbuka serta individu yang menyunting Wikipedia dan sering kali tidak menyedari kewujudan keseluruhan ekosistem ini di sebalik platform dalam talian tersebut.
Salah satu tugas terpenting Wikimedia Foundation ialah menyalurkan sokongan kewangan yang diterima kepada individu, kumpulan dan organisasi ini di seluruh dunia bagi membina komuniti penyumbang yang berkembang maju secara bersama. Ini memerlukan pengendalian infrastruktur pentadbiran dan kewangan yang sangat kompleks. Infrastruktur ini secara konsisten menerima penarafan tertinggi daripada badan pemantau bebas seperti Charity Navigator setiap tahun.
Dengan panduan jawatankuasa sukarelawan, kami mengimbangi keutamaan pembiayaan antara inovasi mendalam di rantau yang lebih mapan dan usaha pertumbuhan berskala besar di komuniti yang lebih baharu seperti Asia, Amerika Latin dan Afrika Sub-Sahara. Selain itu, merapatkan jurang yang kami panggil sebagai “jurang pengetahuan” merupakan matlamat strategik gerakan kami. Salah satu contohnya ialah usaha kolektif ramai individu dan organisasi untuk meningkatkan perwakilan biografi wanita di Wikipedia.
Matlamat usaha ini ialah untuk mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berkongsi visi dan nilai kami agar menyertai kami. Ia merangkumi penerimaan pendatang baharu dan sokongan kepada penyunting yang lebih berpengalaman. Sokongan ini boleh berupa derma kecil kepada individu, geran besar berbilang tahun untuk membolehkan sesebuah cawangan mengembangkan aktiviti tempatan atau kerjasama dengan ratusan institusi pendidikan dan kebudayaan di seluruh dunia.
Pendekatan ini bermaksud bertemu orang di tempat mereka berada dan tidak mengharapkan mereka mencari kami. Saya teringat kepada geran yang menyokong penciptaan bersama projek pengetahuan terbuka dengan Atikamekw First Nation di Kanada, usaha menangani jurang jantina bersama Art+Feminism di Amerika Syarikat, sesi edit-a-thon di Jepun, pembangunan Wikipedia Kyrgyz di Eropah Tengah, pembinaan asas penyumbang Wikimedia di Nigeria serta sokongan kepada guru dalam menggunakan Wikipedia di bilik darjah di Maghribi.
Individu yang melakukan semua ini tidak kelihatan di skrin komputer anda, tetapi merekalah yang menggerakkan dunia manusia di sebalik Wikipedia, sebuah dunia yang membolehkan semua perkara yang saya terangkan di sini menjadi kenyataan
Saya berharap penjelasan ini membantu anda memahami dengan lebih baik peranan Wikimedia Foundation, khususnya apabila kami memohon sumbangan.
Dengan penuh kesedaran, kami tidak hanya bergantung kepada segelintir individu istimewa untuk menyumbang jumlah besar. Ini kerana Wikipedia adalah milik semua orang dan sebab itulah orang ramai digalakkan untuk menyumbang sekadar kemampuan mereka sekiranya mereka mendapati Wikipedia bermanfaat. Pembiayaan ini yang datang daripada hanya 2% pembaca membantu memastikan Wikipedia kekal bebas iklan dan bebas daripada pengaruh.
Seperti yang telah anda baca, Wikimedia Foundation telah berkembang untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknikal, geografi dan sosial yang semakin pantas. Di samping pelaburan semasa, kami juga merancang untuk masa hadapan termasuk membangunkan dana endowment bagi mempercepat inovasi teknikal dan membuat pelaburan besar untuk membayangkan semula peranan bahasa di Internet. Jika anda bersetuju bahawa usaha ini penting, kami menggalakkan anda untuk menyokong Wikimedia Foundation.
Wikipedia ialah sebuah ensiklopedia yang mewakili pengetahuan manusia terbaik. Ia bukan platform media sosial dan bukan halaman pendapat. Tiada yang setanding dengannya di mana-mana. Dan ia milik kita semua.
Maryana Iskander ialah Ketua Pegawai Eksekutif Wikimedia Foundation.
Jika anda ingin menyokong usaha kami, anda boleh membuat sumbangan di donate.wikimedia.org.
Catatan editor: Hantaran ini asalnya diterbitkan pada 30 Oktober 2023. Ia telah dikemas kini dengan maklumat terbaharu pada November 2024 dan November 2025.