Wikipedia raikan 25 tahun kegemilangan ilmu pengetahuan

Siri dokumentari video baharu mengangkat kisah individu yang menjayakan Wikipedia, serta kerjasama teknologi baharu untuk memastikan kelestariannya.

15 Januari 2026 — Wikipedia, sumber maklumat dalam talian terbesar di dunia genap berusia 25 tahun hari ini, menandakan suku abad usaha menjadikan ilmu yang boleh dipercayai dan digerakkan oleh manusia dapat diakses oleh semua di seluruh dunia. Menerusi kempen Wikipedia 25 yang dilancarkan hari ini, Wikimedia Foundation, organisasi bukan untung yang mengendalikan Wikipedia menjemput orang ramai untuk menerokai perjalanan Wikipedia sepanjang 25 tahun lalu, meraikan para sukarelawan yang menjayakan platform ini serta menjadi sebahagian daripada masa depannya.

“Wikipedia ialah satu keajaiban digital dunia yang tiada tandingannya. Ia telah mengharungi pelbagai cabaran dan perubahan sepanjang kewujudannya hasil usaha insan di sebaliknya dan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi untuk berkongsi ilmu secara bebas dan boleh dipercayai dengan dunia,” kata Maryana Iskander, Ketua Pegawai Eksekutif Wikimedia Foundation. “Dengan berbilion lawatan setiap bulan dan semakin banyak organisasi bergantung pada ilmu bebas dan disahkan daripada Wikipedia, platform ini kini menjadi komponen penting dalam keseluruhan ekosistem Internet.”

Kempen ulang tahun Wikipedia baharu: siri dokumentari, kapsul masa dan banyak lagi

Hari ini, Wikimedia Foundation buat pertama kalinya melancarkan siri dokumentari video yang berkongsi kisah di sebalik tabir kehidupan dan pengalaman para penyunting sukarelawan Wikipedia di seluruh dunia. Semua kandungan di Wikipedia dicipta dan diselenggara oleh komuniti global merangkumi hampir 250,000 penyunting sukarelawan yang menulis, menyunting dan menyemak fakta berdasarkan piawaian ketat bagi menjamin keneutralan serta kebolehpercayaan maklumat.

Siri ini menampilkan lapan orang sukarelawan dan mengetengahkan tujuan serta minat unik mereka dalam menyumbang kepada ensiklopedia dalam talian ini. Antaranya termasuk seorang warga California yang telah dua dekad mendokumentasikan taufan dan ribut, seorang doktor perubatan dari India yang berkongsi maklumat penting COVID-19 semasa pandemik global, seorang pustakawan warga emas di Tokyo yang memastikan ilmu tersedia dalam bahasa Jepun dan ramai lagi. Kisah-kisah ini menegaskan bahawa, walaupun dan lebih-lebih lagi dalam era AI, ilmu tetap bersifat manusiawi dan memerlukan manusia.

Wikimedia Foundation juga melancarkan kapsul masa “25 Tahun Wikipedia” yang membolehkan peminat Wikipedia di seluruh dunia menyelami masa lalu, masa kini dan masa depan sumber global yang dihargai ini. Pengguna boleh mendengar pengasas Wikipedia, Jimmy Wales berkongsi kenangan tentang asal-usul Wikipedia dengan kata-katanya sendiri termasuk saat beliau memasang pelayan pertama laman ini. Kapsul ini turut meneroka peranan Wikipedia semasa peristiwa besar dunia seperti hampir runtuhnya pelayan Wikipedia pada tahun 2009 akibat lonjakan lawatan selepas kematian Michael Jackson. Ia juga menampilkan sisi pelik dan menarik Wikipedia termasuk rencana tentang seekor sotong peramal bernama Paul.

Menjengah masa depan Wikipedia, satu kuiz interaktif baru turut dilancarkan hari ini. Kuiz ini menjemput orang ramai di seluruh dunia untuk mengetahui versi masa depan Wikipedia yang mencerminkan diri mereka. Gambaran masa depan ini dibayangkan oleh sekumpulan penyunting Wikipedia, kanak-kanak, futuris profesional dan artis yang mewakili pelbagai visi untuk Wikipedia masa hadapan.

Wikipedia in the age of AI 

Wikipedia telah menjadi tulang belakang ilmu di Internet. Sepanjang 25 tahun, Wikipedia dan komuniti sukarelawan globalnya telah mengharungi gangguan teknologi, perubahan peraturan serta peningkatan ketidakpercayaan dalam landskap maklumat dan banyak lagi cabaran lain. Dalam semua ini, mereka terus menyesuaikan diri dan berkembang supaya semua orang walau di mana keberadaan dapat terus mencapai dan berkongsi ilmu.

Dalam era AI, nilai Wikipedia dengan kandungan yang dicipta dan disusun oleh manusia kian bernilai. Hari ini, Wikipedia tersenarai dalam sepuluh laman web paling banyak dilawati di dunia dan merupakan satu-satunya yang dikendalikan oleh organisasi bukan untung. Lebih 65 juta rencananya dalam lebih 300 bahasa dibaca hampir 15 bilion kali setiap bulan dan ilmunya menjadi asas kepada chatbot AI generatif, enjin carian, pembantu suara dan banyak lagi. Wikipedia juga merupakan antara set data berkualiti tertinggi yang digunakan untuk melatih Model Bahasa Besar (LLM).

Perkembangan Wikipedia sepanjang 25 tahun lalu menonjolkan kepentingannya yang semakin meningkat dalam dunia dalam talian hari ini. Antara cara ia berkembang dan berevolusi ialah:

  • Kerjasama baharu dengan syarikat teknologi demi kelestarian Wikipedia: Syarikat teknologi yang bergantung pada kandungan Wikipedia perlu menggunakannya secara bertanggungjawab dan membantu memastikan kelestariannya. Salah satu caranya ialah melalui platform Wikimedia Enterprise. Wikimedia Enterprise dibangunkan oleh Wikimedia Foundation sebagai produk komersial untuk penggunaan semula dan pengedaran kandungan projek Wikimedia pada skala besar. Sepanjang tahun lalu, beberapa syarikat termasuk Ecosia, Microsoft, Mistral AI, Perplexity, Pleias dan ProRata menjadi rakan baharu Wikimedia Enterprise, menyertai rakan sedia ada seperti Amazon, Google dan Meta. Mereka boleh mengakses kandungan Wikimedia pada jumlah dan kelajuan yang disesuaikan dengan keperluan mereka sambil menyokong secara langsung misi bukan untung kami.
  • Pelaksanaan strategi AI yang mengutamakan manusia: Strategi AI Wikimedia Foundation terkini mengarah pelaburan dan pembangunan AI pada masa hadapan untuk menyokong penyumbang manusia di teras Wikipedia supaya mereka dapat menumpukan masa pada apa yang ingin dicapai, bukan pada aspek teknikal semata-mata.
  • Memperkukuh infrastruktur teknologi: Penambahbaikan berterusan telah dilakukan sejak 2001 untuk menjadikan Wikipedia antara laman paling mudah diakses dan berbilang bahasa di dunia. Kemas kini antara muka desktop dan mod gelap telah meningkatkan kebolehcapaian pengguna; pusat data baharu dibuka untuk mempercepatkan masa muat; dan aplikasi Wikipedia untuk iOS dan Android membolehkan akses terus melalui peranti mudah alih.
  • Menutup jurang pengetahuan: Kandungan Wikipedia hari ini semakin mencerminkan kepelbagaian dunia melalui usaha penterjemahan bahasa dan inisiatif komuniti untuk memperluas spektrum penyunting sukarelawan serta kandungan. Selain itu, Abstract Wikipedia bertujuan menyediakan maklumat boleh dipercayai Wikipedia dalam semua bahasa. Projek ini merupakan antara lima finalis geran 100&Change oleh Yayasan MacArthur tahun lalu.
  • Melibatkan generasi pembaca dan penyumbang seterusnya: Menerusi eksperimen baharu seperti permainan dalam talian dan kandungan pendek untuk media sosial, kami meneroka cara inovatif agar Wikipedia dapat mencapai pengguna baharu, bertindak balas terhadap trend global dan memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berubah.

Lebih banyak cara untuk meraikan Wikipedia

Terdapat pelbagai cara untuk orang ramai di seluruh dunia menyertai sambutan Wikipedia 25 sepanjang tahun. Antaranya:

  • Orang ramai dijemput menggunakan ciri baharu di media sosial untuk “menandatangani” kad hari jadi digital Wikipedia dan menjadikannya kad hari jadi terpanjang pernah dihasilkan.
  • Acara hari jadi global secara maya pada 15 Januari, jam 4:00 petang UTC menampilkan tetamu kejutan, permainan, hiburan dan banyak lagi. Acara ini akan disiarkan secara langsung di saluran YouTube, TikTok dan Instagram Wikipedia. Acara bersemuka turut dirancang di pelbagai lokasi dunia.
  • Baby Globe, maskot hari lahir baharu yang diinspirasikan daripada lakaran seorang sukarelawan Wikipedia akan muncul dalam siri kejutan visual yang ceria di beberapa versi bahasa Wikipedia apabila pembaca mengaktifkan mod Hari Lahir bulan hadapan.
  • Koleksi barangan Wikipedia edisi terhad yang baru dan meriah bermula dengan patung plushie Baby Globe hasil kerjasama dengan Makeship.

“Pada tahun 2001, Wikipedia bermula sebagai satu impian untuk berkongsi ilmu dengan semua orang, di mana-mana sahaja. Tiada siapa, termasuk saya tahu sama ada ia akan berjaya,” kata Jimmy Wales, Pengasas Wikipedia dan Pemegang Amanah Wikimedia Foundation. “Di luar jangkaan, Wikipedia berkembang menjadi tulang belakang ilmu di Internet hari ini. Wikipedia membuktikan 25 tahun kemanusiaan pada tahap kegemilangan apabila manusia bersatu dengan semangat kepercayaan dan kerjasama, perkara yang kelihatan mustahil dapat direalisasikan.”

Wikimedia Foundation, komuniti sukarelawan global Wikipedia dan rakan sekutu Wikimedia di seluruh dunia akan meneruskan pelbagai aktiviti sambutan 25 tahun Wikipedia sepanjang 2026. Layari laman web ini dan ikuti Wikipedia di media sosial untuk mengetahui lebih lanjut cara untuk terlibat.

Petikan tambahan sempena 25 tahun Wikipedia

  • “Wikipedia membuktikan bahawa ilmu itu bersifat manusiawi dan ilmu memerlukan manusia. Lebih-lebih lagi sekarang, dalam era AI, kita memerlukan ilmu Wikipedia yang digerakkan oleh manusia lebih daripada sebelumnya. Dengan sokongan berterusan daripada pembaca, penyunting sukarelawan, penderma, rakan kerjasama dan peminat di seluruh dunia, Wikipedia akan terus menjadi hab penting bagi perkongsian ilmu dan kerjasama berteraskan manusia di alam dalam talian untuk 25 tahun akan datang dan seterusnya.”— Selena Deckelmann, Ketua Pegawai Produk dan Teknologi Wikimedia Foundation
  • “Akses kepada maklumat berkualiti tinggi dan boleh dipercayai merupakan teras kepada cara kami memikirkan masa depan AI di Microsoft. Kerjasama kami dengan Wikimedia membantu memastikan orang ramai serta ejen yang bertindak bagi pihak mereka dapat memanfaatkan ilmu yang mereka fahami dan percayai. Bersama-sama, kami membantu membentuk ekosistem kandungan yang mampan untuk Internet berasaskan AI iaitu penyumbang dihargai, komuniti dihormati dan AI yang bertanggungjawab membuka peluang untuk semua.”— Tim Frank, Naib Presiden Korporat Microsoft
  • “Pasukan ProRataAI dengan penuh kegembiraan meraikan ulang tahun perak komuniti Wikipedia yang inovatif dan telah mengubah budaya. Dalam membina sebuah syarikat berfokuskan penyelesaian AI yang menghormati pencipta kandungan, kami amat menghargai kepimpinan dan nilai Wikipedia yang sentiasa menegakkan kualiti, kesahihan dan ketelusan kandungan dalam era perubahan teknologi yang pesat. Kami teruja untuk terus menyokong Wikipedia bagi 25 tahun akan datang ketika AI menjadi semakin berpengaruh dalam carian dan penemuan maklumat dan Wikipedia terus memperkukuh kawalan penerbit serta pengiktirafan terhadap penggunaan kandungan.”— Bill Gross, Pengasas & CEO ProRata AI
  • “Setiap hari, para Wikipediawan menulis sejarah bersama –  berbahas, berbincang dan memperhalusi maklumat berdasarkan sumber yang boleh dipercayai. Dalam landskap media yang semakin terpecah-pecah, Wikipedia ialah tempat fakta terus hidup.” — Craig Newmark, Pengasas Craigslist dan penderma Wikimedia Foundation
  • “Nilai unik Wikipedia terletak pada keupayaannya menyediakan ilmu bebas dan relevan kepada masyarakat di seluruh dunia. Apabila kita melihat kepada berbbilion pengguna Internet seterusnya, Afrika akan memainkan peranan penting dalam memastikan ilmu Wikipedia dan seterusnya keseluruhan Internet benar-benar mencerminkan kekayaan benua ini dan rakyatnya.” — Bobby Shabangu, Pemegang Amanah Lembaga Wikimedia Foundation, Johannesburg, Afrika Selatan
  • “Ilmu sepatutnya menjadi milik semua orang. Itulah sebabnya saya mula menyunting Wikipedia lebih 20 tahun lalu dan masih meneruskannya hingga hari ini. Harapan saya untuk Wikipedia mudah sahaja, agar ia terus wujud. Untuk memastikan perkara ini berlaku, Wikipedia memerlukan manusia. Saya menggalakkan sesiapa sahaja yang mendapat manfaat daripada Wikipedia supaya memikirkan sumbangan yang boleh mereka berikan kepada ilmu bebas. Jika kita lakukan ini bersama-sama, Wikipedia akan terus memainkan peranan penting dalam kehidupan kita untuk 25 tahun akan datang.”— Robert Sim, penyunting sukarelawan Wikipedia dan Wikimediawan Terbaik 2025 dari Singapura
  • “Wikipedia telah menjadi pintu masuk yang hebat dan berpengaruh untuk saya mengenali satu dunia penuh fakta yang sebelum ini tidak dapat dicapai. Sebagai seorang seniman, penulis dan ibu bapa, saya pasti akan kehilangan arah tanpa sumber yang disediakan oleh Wikipedia, dan semuanya hanya memerlukan satu klik!”Jim Sonefeld, pemain dram Hootie & the Blowfish, penyanyi/penulis lagu, penceramah dan penulis

Fakta dan angka Wikipedia

  • Wikipedia dibaca hampir 15 bilion kali setiap bulan.
  • Wikipedia mengandungi lebih 65 juta rencana dalam lebih 300 bahasa.
  • Wikipedia disunting oleh hampir 250,000 penyunting setiap bulan di seluruh dunia (penyunting dengan sekurang-kurangnya satu suntingan sebulan dan mempunyai nama pengguna).
  • Wikipedia diakses oleh lebih 1.5 bilion peranti unik setiap bulan.
  • Kandungan Wikipedia disunting 324 kali seminit.
  • Wikipedia ialah satu-satunya laman web dalam 10 teratas dunia yang dikendalikan oleh organisasi bukan untung.

Tentang Wikimedia Foundation

Wikimedia Foundation ialah organisasi bukan untung yang mengendalikan Wikipedia dan projek-projek Wikimedia lain. Kami menyokong komuniti, teknologi dan dasar yang membolehkan maklumat yang boleh dipercayai dikongsi dengan dunia. Wikimedia Foundation ialah organisasi dikecualikan cukai 501(c)(3) di Amerika Syarikat. Ibu pejabatnya di San Francisco, California. Lawati laman web kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Wikimedia Foundation dan Wikipedia.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi press@wikimedia.org.

Read more: Our projects

Verbindung — Connect

Bleiben Sie über die Wikimedia Foundation auf dem laufenden

Kontaktieren Sie eine Person

Fragen über die Wikimedia Foundation oder unsere Projekte? Kontaktieren Sie unser Team.